809 stesen minyak, 79 pemborong diesel dipantau KPDN Selangor

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 3:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhamad Hanif (kiri) ketika melakukan pemantauan di salah sebuah stesen minyak baru-baru ini.
image is not available
Pemeriksaan dijalankan secara menyeluruh di bawah Ops Tiris 4.0 dan Kempen Kita Gempur, meliputi stesen minyak serta syarikat pemborong bahan api di seluruh Selangor.

SHAH ALAM – Sebanyak 809 stesen minyak yang aktif beroperasi termasuk 79 syarikat pemborong diesel di Selangor dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Ops Tiris 4.0 bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan bahan api bersubsidi.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata, pemeriksaan itu dipergiat susulan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan, Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan RON95 2026 yang mula berkuat kuasa pada 1 April lalu.

Menurutnya, operasi bersepadu itu dilaksanakan di seluruh negeri melibatkan pejabat KPDN di Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Bharu.

"Pemeriksaan dijalankan secara menyeluruh di bawah Ops Tiris 4.0 dan Kempen Kita Gempur, meliputi stesen minyak serta syarikat pemborong bahan api di seluruh Selangor.

"Ia bagi memastikan semua pihak mematuhi peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 selain mengelakkan ketirisan subsidi bahan api,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

**media[3486420]**

Beliau berkata, antara fokus utama pemeriksaan termasuk pemantauan kenderaan pendaftaran asing, semakan lesen barang kawalan serta kebenaran pengoperasian bahan petroleum.

"Pemeriksaan turut melibatkan tangki simpanan bahan api, status sah mesin pam serta aktiviti pengisian bahan api ke dalam tong atau bekas.

"Selain itu, kita turut memberi perhatian terhadap kenderaan perdagangan bagi memastikan tiada penyalahgunaan bahan api bersubsidi berlaku,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Hanif berkata, KPDN Selangor memperkenalkan sistem rekod pemantauan menggunakan imbasan kod QR bagi mempertingkat kecekapan penguatkuasaan.

Menurutnya, pelekat kod QR akan ditampal di stesen minyak terpilih dan setiap pemeriksaan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan direkodkan secara digital.

"Maklumat pemeriksaan akan dipantau secara masa nyata oleh pasukan di pejabat, sekali gus membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku sebarang isu.

"Inisiatif ini dilaksanakan di stesen minyak yang menjadi fokus utama dalam Ops Tiris 4.0,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mencetuskan panik ketika membuat pembelian bahan api dan mendapatkan maklumat sah di kaunter pembayaran sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan.

Tegasnya, KPDN Selangor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

"Sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN Selangor terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Lembaga Lebuh Raya Malaysia bagi menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di lebuh raya serta kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku urus niaga bahan api boleh menyalurkannya melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez Adu KPDN.