83 projek BALB Sabah bernilai RM4.06 bilion diserah kepada kerajaan negeri - KKDW

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 3:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 83 projek BALB Sabah bernilai RM4.06 bilion diserah kepada kerajaan negeri - KKDW
Ahmad Zahid (kiri) ketikmempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Penyerahan Perlaksanaan Projek BALB kepada kerajaan Sabah.

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyerahkan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah kepada kerajaan negeri bagi sebagai langkah mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur asas di negeri itu.

KKDW memaklumkan, keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu itu demi memastikan manfaat dapat disampaikan kepada masyarakat luar bandar secara lebih pantas dan berimpak tinggi.

"Bagi tahun 2026, sebanyak 83 projek baharu dan sambungan di bawah Program BALB Negeri Sabah telah diluluskan kepada KKDW.

"Ia melibatkan kos keseluruhan projek berjumlah RM4.06 biliion dengan jumlah peruntukan RM143 juta di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum itu, satu mesyuarat penyelarasan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mesyuarat terbabit bagi menyelaras tindakan yang perlu antara KKDW dan agensi Pusat dengan Sabah bagi memastikan penyerahan projek BALB berjalan lancar.

Inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan pihak kementerian untuk menerajui pembangunan luar bandar, seterusnya meningkatkan kualiti hidup komuniti di Sabah melalui penyediaan infrastruktur asas lebih kukuh.