Sarawak laksana 80 projek BALB, perkasa infrastruktur asas luar bandar

LocalPolitics
15 Apr 2026 • 10:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sarawak laksana 80 projek BALB, perkasa infrastruktur asas luar bandar
Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan projek BALB di Kuching, Sarawak pada Selasa. Foto: ihsan KKDW

PUTRAJAYA - Sebanyak 80 projek di bawah program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sarawak dengan kos keseluruhan bernilai RM3.47 bilion telah diluluskan bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, kesemua projek baharu dan sambungan itu turut melibatkan peruntukan sebanyak RM141.87 juta di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Tahun 2026.

Menurutnya, langkah berkenaan diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek melalui pemerkasaan peranan kerajaan Sarawak, demi memastikan manfaat dapat disampaikan kepada masyarakat luar bandar secara lebih pantas dan berimpak tinggi.

"KKDW komited dalam memastikan infrastruktur asas luar bandar Sarawak terutamanya berkaitan bekalan air luar bandar terus diperkasa.

"Ini adalah susulan keputusan Jemaah Menteri bertarikh 17 Mac lalu yang bersetuju untuk menyerahkan projek-projek BALB kepada kerajaan negeri Sarawak untuk dilaksanakan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

KKDW berkata, mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah diadakan bagi memperincikan tindakan selanjutnya antara kementerian, agensi pusat dan Kerajaan Sarawak.

Jelas kenyataan itu, mesyuarat berkenaan bertujuan memastikan proses penyerahan projek BALB dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan pihak kementerian untuk menerajui pembangunan luar bandar seterusnya meningkatkan kualiti hidup komuniti di Sarawak melalui penyediaan infrastruktur asas yang lebih kukuh," katanya lagi.