83 serbuan gempur judi haram di Kuantan, 95 individu ditahan

27 Sep 2026 • 4:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 83 serbuan gempur judi haram di Kuantan, 95 individu ditahan
Azry

KUANTAN - Seramai 95 individu ditahan dengan 83 kertas siasatan dibuka hasil 83 serbuan ke atas premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram di sekitar daerah ini dalam tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka, 64 kes atau 77 peratus telah dituduh di mahkamah dan selebihnya masih dalam tindakan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Menurutnya, kadar pertuduhan yang dilaksanakan itu membuktikan keberkesanan risikan, ketegasan tindakan dan siasatan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (BSJ IPD) Kuantan.

"Selain itu, daripada jumlah tersebut sebanyak 20 premis telah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.

Azry berkata demikian bagi menjawab isu judi haram di kawasan Parlimen Kuantan yang didakwa berleluasa seperti yang dibangkit Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor melalui hantaran di Facebook.

Menurutnya, Polis Daerah Kuantan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram dan akan meneruskan operasi secara berterusan.

"Polis mengambil maklum dan memandang serius berkaitan dakwaan aktiviti perjudian yang menjadi topik hangat di media sosial sejak akhir-akhir ini di sekitar Kuantan dan sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan berterusan menerusi Operasi Dadu (Op Dadu)," ujarnya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram diminta untuk menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di talian 09-513 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved