Pekebun rugi RM1.15 juta angkara love scam

LocalBusiness & Finance
26 Sep 2026 • 11:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pekebun rugi RM1.15 juta angkara love scam

KUANTAN – Seorang pekebun dan peniaga produk pertanian mengalami kerugian lebih RM1.15 juta, selepas terperdaya dengan sindiket penipuan cinta atau love scam.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa, wanita berusia 50 tahun dikatakan berkenalan dengan seorang individu dikenali sebagai Siew Gui Lim @ Jason melalui aplikasi WhatsApp pada 17 Julai, sebelum hubungan mereka menjadi semakin rapat.

“Suspek kemudian menyamar sebagai pengarah perunding keselamatan siber dan menawarkan pelaburan emas dengan menjanjikan keuntungan kepada mangsa.

“Selepas mangsa membuat bayaran berkaitan pelaburan berkenaan, suspek memperkenalkan pula satu platform bernama ‘Veniec Lottery’ yang didakwa sebagai usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dipujuk membuat beberapa deposit bagi mendapatkan keuntungan dan bonus, sebelum melakukan pelbagai transaksi ke tujuh akaun bank berjumlah RM1,150,034.70 membabitkan wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga.

“Bagaimanapun, mangsa gagal mengeluarkan wang berkenaan sebelum menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan,” katanya serta menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Azry Akmar menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan individu yang menggunakan hubungan persahabatan atau hubungan istimewa untuk memujuk mangsa membuat pelaburan atau menyerahkan wang.

Beliau berkata orang ramai disaran membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui platform Semak Mule, sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

“Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan menerusi talian 997 atau membuat laporan polis,” katanya. – Bernama

The post Pekebun rugi RM1.15 juta angkara love scam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved