
SHAH ALAM, 4 JULAI: Sebanyak 84 rumah di Taman Putra Harmoni, Putra Heights yang terjejas akibat letupan paip gas bawah tanah pada 1 April lalu masih dalam proses penilaian keselamatan dan kerosakan.
Ahli Jawatankuasa Fasa Pemulihan Bencana Letupan Paip Gas Putra Heights Selangor, Dato’ Johary Anuar berkata jumlah itu adalah berdasarkan status semasa hingga 16 Jun lalu, lapor Berita Harian.
“Sebanyak 101 rumah di kawasan itu dikenal pasti terlibat dalam projek bina semula atau baik pulih, 13 unit akan dibina semula, empat unit dibaik pulih manakala 84 unit masih dalam penilaian,” katanya.
Jelas beliau, projek itu dilaksanakan oleh Sime Darby Property mengikut spesifikasi rumah asal. Ketika ini, kerja pembersihan tapak giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2027.
Sementara itu, Johary berkata pembinaan semula dan baik pulih 17 rumah di Kampung Kuala Sungai Baru yang turut terjejas akan dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Daripada jumlah itu, 11 rumah akan dibina semula, manakala selebihnya dibaik pulih. Kerja meroboh telah selesai. Pembinaan baharu dan baik pulih kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada Oktober 2025,” katanya.
Pada Isnin lepas, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti yang menjadi punca letupan pada kejadian pagi 2 Syawal.
Berikutan itu polis mengklasifikasikan insiden letupan itu sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA), namun sekiranya terdapat bukti atau keterangan baharu ditemui, pihaknya komited meneruskan semula siasatan.
The post 84 rumah letupan Putra Heights masih dinilai, projek pulih siap 2027 appeared first on Selangorkini.

