
SHAH ALAM, 4 JULAI: Taklimat khas berhubung kejadian letupan paip gas milik Petronas di Putra Heights, Subang yang berlaku pada 1 April lalu akan dilaksanakan Isnin ini sempena sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata taklimat itu dianjurkan khusus kepada ahli parlimen dan ahli dewan negeri sama ada di blok kerajaan atau pembangkang.
“Saya memohon Speaker DNS supaya memberi kerajaan ruang untuk menjelas dan menerangkan berhubung isu berkenaan.
“Kerajaan Negeri berdiri atas prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan akauntabiliti. Kita menjunjung penuh prinsip dan mandat rakyat,” katanya di Facebook.
Pada Isnin lepas, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti yang menjadi punca letupan pada kejadian pagi 2 Syawal.
Berikutan itu polis mengklasifikasikan insiden letupan itu sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA), namun sekiranya terdapat bukti atau keterangan baharu ditemui, pihaknya komited meneruskan semula siasatan.
Susulan itu, Selangor akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mencadangkan pembaharuan undang-undang selain menilai tatacara kelulusan kebenaran merancang.
Sebelum ini, Speaker Lau Weng San berkata sidang kali ini yang membuka tirainya pada 7 Julai akan memberi tumpuan kepada beberapa isu utama termasuk insiden letupan saluran gas berkenaan.
Selain itu, antara isu yang dijangka bakal dibangkitkan wakil rakyat termasuklah pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), kejadian banjir serta inisiatif pelaburan yang memberi dampak besar kepada ekonomi.
The post Taklimat khas letupan Putra Heights di sidang DNS Isnin ini appeared first on Selangorkini.

