8BitDo ialah sebuah jenama aksesori untuk konsol permainan Nintendo, khususnya untuk konsol Nintendo Switch. Mereka cukup terkenal untuk aksesori pengawal permainan mereka dan juga penyesuai Bluetooth yang membenarkan pengawal permainan parti ketiga seperti pengawal Dualshock dan Xbox untuk digunakan dengan konsol tersebut.

Terkini, mereka telah memperkenalkan papan kekunci 8BitDo Retro Mechanical Keyboard yang bertemakan konsol permainan video Nintendo Entertainment System ataupun NES. Papan kekunci ini hadir dalam saiz Tenkeyless. Dari segi penawaran suis, papan kekunci ini dilihat menggunakan suis mekanikal Kailh Box White yang mana ia boleh dicabut sekiranya anda mahu menggunakan suis-suis lain.
Keunikan papan kekunci ini dapat dilihat dari segi rekaan papan kekuncinya, dimana ia hadir dengan dua versi, iaitu N Edition (bertemakan Nintendo Entertainment System) dan Fami Edition (berdasarkan Super Famicom). Model N Edition memperlihatkan kekunci berwarna merah, manakala Fami Edition mempunyai abjad Jepun dan tema warna perang.

Dalam pada itu, papan kekunci ini juga hadir dengan sokongan untuk sambungan kabel dan juga nirwayar melalui Bluetooth dan juga WiFi 2.4GHz, bergantung kepada apa yang mahu digunakan oleh pengguna. Dari segi bateri, ia mempunyai jangka hayat penggunaan selama 200 jam dengan satu pengecasan penuh, dan memerlukan 4 jam untuk dicas dari kosong ke penuh.
Pra-tempahan untuk papan kekunci 8BitDo Retro Mechanical Keyboard ini sudahpun dibuka melalui laman web 8BitDo pada harga $99 (~RM450) dan akan mula dijual secara terbuka pada 20 September ini.

