9 Anggota FRU Maut Nahas Dikenal Pasti

13 May 2025 • 4:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang waris mangsa yang berada di Hospital Teluk Intan mengalirkan air mata kesedihan - Gambar BERNAMA

TELUK INTAN - Senarai sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang meninggal dunia akibat kemalangan ngeri di Jalan Chikus-Sungai Lampam telah dikenal pasti.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata semua anggota terlibat terdiri daripada pegawai rendah polis FRU Sungai Senam Ipoh, dengan lapan daripada mereka berasal dari Perak dan seorang dari Kedah.

Beliau berkata mereka terdiri daripada Sarjan (Sjn) Perumal a/l Sugunanathan, 44, dari Lahat, Ipoh; Sjn Mohd Roslan Abd Rahim, 46, dari Tanjung Rambutan, Ipoh; Koperal (Kpl) Mohd Pozli Jaudin, 41, dari Gunung Rapat, Ipoh; Kpl Nurit Ak Pandak, 34, (Kampar); dan Kpl Amiruddin Zabri, 38, (Gopeng).

Empat lagi ialah Kpl Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38, dari Taiping; Kpl Muhamad Akmal Muhamad, 35, tahun dari Kuala Kurau; L/ Kpl Damarrulan Abdul Latif, 33, dari Ipoh; dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, dari Lunas, Kedah.

Sembilan anggota FRU itu meninggal dunia selepas trak yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori dalam kejadian 8.50 pagi tadi di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di sini. - BERNAMA