
KOTA BELUD: Sembilan cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kampung Pandasan, Ahad lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.37 petang.
“Sembilan anggota bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera dan sebuah kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sembilan mangsa terlibat membabitkan kereta Toyota Avanza, Toyota Hilux dan Isuzu D-Max.
“Lapan mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan, manakala seorang lagi didapati tersepit di dalam Toyota Avanza,” katanya dalam kenyataan. Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk memotong pintu kenderaan bagi mengeluarkan mangsa berkenaan.
“Mangsa itu kemudian diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan EMRS dan ambulans KKM,” katanya.
Elge berkata, mangsa lain dilaporkan hanya cedera ringan, manakala pasukan bomba turut memeriksa ketiga-tiga kenderaan terlibat serta kawasan sekitar lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain.
“Punca kejadian masih dalam siasatan, manakala operasi ditamatkan pada jam 3.50 petang,” tambahnya.


