9 Individu Dikehendaki Polis Singapura Ditahan Di KL, Johor

21 Oct 2026 • 7:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

9 Individu Dikehendaki Polis Singapura Ditahan Di KL, Johor

KUALA LUMPUR - Sembilan individu yang dikehendaki polis Singapura berhubung penglibatan dalam sindiket pelacuran dalam talian ditahan dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Johor, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata suspek terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita berusia antara 29 hingga 56 tahun.

Mereka dipercayai terbabit dalam sindiket yang mengendalikan laman web menawarkan perkhidmatan pelacuran kepada pelanggan di Singapura dengan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi.

Penahanan itu dilakukan menerusi Op Noda-Rentas Sempadan, hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Singapore Police Force (SPF).

Menurut Kumar, sembilan suspek terbabit terdiri daripada seorang warga Malaysia dan lapan warga asing, termasuk tujuh warga China serta seorang warga Singapura.

Hasil pemeriksaan mendapati lima suspek warga asing, iaitu empat warga China dan seorang warga Singapura, telah tinggal lebih masa di Malaysia.

Beliau berkata, kesemua suspek akan diserahkan kepada SPF menerusi Bahagian D12 Bukit Aman yang mengendalikan urusan NCB/Interpol, selepas identiti mereka disahkan di hadapan majistret.

Sindiket itu dipercayai aktif sejak 2024 dan memilih Malaysia sebagai pangkalan operasi bagi menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kegiatan mereka.

Dalam operasi sama, polis turut menahan 21 lagi warga asing terdiri daripada lima lelaki dan 16 wanita berusia antara 19 hingga 41 tahun.

Kumpulan itu melibatkan 17 warga China, tiga warga Vietnam dan seorang warga Laos yang disyaki mempromosikan serta menguruskan perkhidmatan pelacuran dalam talian.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Kumar berkata, operasi berkenaan membuktikan kepentingan perkongsian risikan dan kerjasama antara PDRM dengan SPF dalam membanteras jenayah rentas sempadan. - Getaran, 21 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved