9 Individu Disekat Sementara Daripada Subsidi BUDI MADANI

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 8:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

9 Individu Disekat Sementara Daripada Subsidi BUDI MADANI

KUALA LUMPUR - Sembilan individu termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarganya disekat sementara daripada menggunakan subsidi BUDI MADANI susulan pengesanan disyaki penyalahgunaan subsidi melebihi RM270,000 di sebuah stesen minyak di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, stesen minyak di Sungai Buaya itu turut disekat daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi.

Tindakan itu diambil susulan aduan penerima yang layak mendakwa maklumat MyKad mereka digunakan tanpa pengetahuan bagi membeli petrol bersubsidi.

Semua pengadu telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Semakan rekod stesen minyak itu mendapati lebih 1,000 transaksi dilakukan menggunakan kaedah pintasan manual, membabitkan lebih 100,000 liter petrol serta subsidi kerajaan bernilai lebih RM270,000.

MOF turut menahan pembayaran subsidi kepada stesen minyak berkenaan, dengan jumlah awal melebihi RM270,000, sementara proses penyelarasan dan pengesahan lanjut dijalankan.

Kementerian itu juga mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan transaksi berkenaan dan sedang meneliti rekod mereka.

Tindakan lanjut akan diambil sekiranya mereka didapati menyalahgunakan skim subsidi berkenaan.

Menurut MOF, BUDI MADANI diwujudkan bagi memastikan subsidi petroleum disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak untuk tujuan yang ditetapkan, bukannya dieksploitasi demi keuntungan peribadi.

Kementerian itu menegaskan penguatkuasaan akan diteruskan terhadap stesen minyak atau individu yang didapati melanggar peraturan skim berkenaan.

Langkah itu turut penting ketika konflik di Asia Barat terus menjejaskan bekalan tenaga global dan memberi tekanan terhadap harga bahan api. - Getaran, 27 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved