Stesen minyak di Nibong Tebal disekat jual petrol, diesel subsidi

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 5:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Stesen minyak di Nibong Tebal disekat jual petrol, diesel subsidi

PUTRAJAYA – Sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang disekat daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah Budi Madani susulan pengesanan transaksi mencurigakan disyaki menyalahgunakan subsidi.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, tindakan itu diambil berikutan beberapa aduan daripada penerima Budi Madani yang mendapati maklumat MyKad masing-masing telah digunakan tanpa pengetahuan mereka untuk membeli petrol bersubsidi.

Katanya, kesemua pengadu telah membuat laporan polis dan MOF telah menjalankan semakan terhadap rekod transaksi stesen minyak berkenaan susulan aduan itu.

“Semakan mendapati lebih 1,000 transaksi yang menggunakan kaedah pintasan manual (manual bypass) telah direkodkan. Transaksi ini melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan berjumlah lebih RM270,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, MOF turut menahan bayaran subsidi kepada stesen minyak tersebut, dengan jumlah awal lebih RM270,000, tertakluk kepada penyelarasan lanjut.

“Seramai sembilan individu termasuk pemilik stesen minyak dan ahli keluarga mereka disekat daripada menggunakan kemudahan subsidi Budi Madani sementara tindakan susulan dilaksanakan. MOF turut mengenal pasti beberapa individu lain yang disyaki mempunyai kaitan, dan kini sedang meneliti rekod transaksi mereka.

“Sekiranya mereka didapati terlibat dalam penyalahgunaan subsidi, tindakan sewajarnya juga akan diambil terhadap mereka,” katanya.

Menurut MOF, Budi Madani telah dirangka untuk memastikan subsidi produk petroleum disasarkan khusus kepada rakyat Malaysia, mengikut tujuan dan kegunaan yang ditetapkan.

Jelasnya, subsidi ini merupakan keistimewaan untuk rakyat dan tidak boleh disalahgunakan untuk mengaut keuntungan peribadi.

“Sebarang penyelewengan subsidi merupakan pengkhianatan terhadap matlamat penyasaran subsidi, apatah lagi ketika konflik di Asia Barat terus mengganggu bekalan tenaga dunia dan memberi tekanan kepada harga bahan api,” katanya.

Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana stesen minyak atau pengguna yang didapati melanggar garis panduan Budi Madani. – KOSMO! ONLINE

The post Stesen minyak di Nibong Tebal disekat jual petrol, diesel subsidi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved