
IPOH - Sembilan individu termasuk seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) dan dua kru bot terselamat apabila bot yang melakukan aktiviti rekreasi membawa pelancong telah terbalik di Pantai Teluk Batik, Seri Manjung hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian melibatkan mangsa pelancong tempatan yang kesemua berusia antara tiga hingga 34 tahun itu pada 10.58 pagi sebelum tiba ke lokasi pada 11.15 pagi tadi.
Beliau berkata dua mangsa didapati lemas iaitu remaja OKU berusia 17 tahun terbabit dan seorang wanita 34 tahun yang telah dibawa naik ke darat oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba, manakala tujuh mangsa yang lain selamat selepas berjaya berenang ke pantai.
"Mangsa lelaki (OKU) yang lemas telah sedar selepas diberikan bantuan CPR (resusitasi kardiopulmonari) oleh orang awam seterusnya dibawa ke hospital oleh EMRS bomba.
"Seorang lagi mangsa iaitu wanita tidak sedarkan diri dirawat oleh anggota KKM (Kementerian Kesihatan) dan didapati mempunyai nadi seterusnya dibawa ke hospital oleh ambulans KKM," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sayani berkata operasi tamat pada 12.15 tengah hari.
Sementara itu, Ketua Polis Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata hasil siasatan awal mendapati bot tersebut telah hilang kawalan ketika penumpang sedang diturunkan.
Beliau berkata bot berkenaan kemudian dimasuki air selepas ia senget ke sebelah kiri sebelum tenggelam.
Katanya, kru bot berkenaan cuba menyelamatkan kesemua penumpang, bagaimanapun dua daripada mereka lemas sebelum mereka dikejarkan ke Hospital Seri Manjung.
“Siasatan awal juga mendapati, kesemua penumpang bot tersebut tidak memakai jaket keselamatan dan didapati juga pengusaha bot tersebut tidak didaftarkan,” katanya dalam kenyataan berasingan petang ini.
Mohamed Nordin berkata kes itu akan disiasat Jabatan Laut Daerah Manjung, bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Justeru, beliau berkata pihak polis menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan ahli keluarga dan anak-anak, semasa berada di pantai peranginan sepanjang musim cuti persekolahan ini.
“Pihak polis juga menasihati pengusaha-pengusaha bot supaya mematuhi segala peraturan yang ditetapkan, terutamanya pemakaian jaket keselamatan dan keselamatan pelancong,” katanya. - BERNAMA
