945 syarikat kenderaan didedahkan, saman tertunggak lebih RM12 juta

LocalCars
10 Sep 2026 • 7:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 945 syarikat kenderaan didedahkan, saman tertunggak lebih RM12 juta
Aedy Fadly ketika mendedahkan senarai nama syarikat kenderaan barangan yang dikenal pasti memiliki saman tertunggak dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Perak, pada Khamis.

IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan 945 syarikat kenderaan yang dikenal pasti mencatatkan jumlah saman tertunggak dengan nilai keseluruhan hampir RM12.18 juta.

Jumlah itu melibatkan 40,595 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dengan 940 daripadanya merupakan syarikat kenderaan barangan manakala lima lagi syarikat bas.

Antara syarikat yang mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi ialah KDEB Waste Management Sdn Bhd (3,083 saman), Mainiza Mantap Sdn Bhd (889), Boon Chin Transport Sdn Bhd (767), Syarikat Ehsan Enterprise Sdn Bhd (482) dan Tashwin IT Enterprise (321).

Bagi syarikat bas pula, Cepat Ekspres Sdn Bhd merekodkan 199 saman, diikuti GJG Travel & Tours Sdn Bhd (108), AC Interstate Coach (M) Sdn Bhd (23), Sri Theven Travel & Tours Sdn Bhd (22) dan Star Mart Express Sdn Bhd (21).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, semua syarikat terbabit dikenal pasti bagi tempoh 2023 hingga 2026 menerusi pelaksanaan Op Tegar di seluruh negara.

Menurutnya, semua syarikat berkenaan diberi tempoh 14 hari bermula esok untuk menyelesaikan saman masing-masing.

"Sekiranya gagal, JPJ akan mengambil tindakan lanjut termasuk bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menggantung permit syarikat terlibat.

"Kenderaan syarikat yang masih beroperasi di jalan raya boleh ditahan dan disita sehingga semua saman diselesaikan," katanya dalam sidang akhbar Op Tegar di Ibu Pejabat JPJ Perak di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan.

Aedy Fadly berkata, tindakan tegas perlu diambil susulan masih terdapat syarikat yang berdegil walaupun pelbagai notis dan peringatan telah dikeluarkan.

Katanya, antara alasan kerap diberikan termasuk terlupa, kesibukan dengan tugas syarikat dan tidak tahu tentang saman yang dikenakan, sedangkan mereka mengambil jalan mudah untuk tidak menyelesaikan saman.

"Kita telah panggil untuk mereka selesaikan saman, tetapi masih lagi ada yang berdegil. Jadi JPJ tidak akan berkompromi selepas ini. Selepas ini kita tidak akan bagi muka lagi," katanya.

Dalam ada itu, beliau menegaskan, JPJ akan terus memperhebat Op Tegar secara bersasar terhadap syarikat pemilik kenderaan serta pemandu yang mempunyai rekod saman tertunggak tinggi dan berulang kali gagal menyelesaikannya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved