
KUALA LUMPUR: Susulan aduan dan maklumat orang awam berkenaan peningkatan kenderaan yang diubah suai secara berlebihan di atas jalan raya, sebanyak 97 buah kenderaan telah diambil tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di ibu negara pada Ahad lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kesemua kenderaan berkenaan diambil tindakan menerusi penguatkuasaan Op Ekstrem dari pukul 1 hingga 5 pagi.
Katanya, operasi dilaksanakan susulan aduan dan maklumat orang awam berkaitan aktiviti serta penggunaan kenderaan yang diubah suai secara ekstrem yang turut menyebabkan gangguan bunyi dan menjejaskan ketenteraman masyarakat.
“Hasil operasi, sebanyak 485 notis dikeluarkan yang merangkumi 357 Notis JPJ(P)22 (Saman), 38 Notis Seksyen 61(1) (Arah Periksa), 21 Notis PG(1) (Larangan Penggunaan Kenderaan), 30 Notis JPJ(P)23 (Arahan Mengemukakan Butiran) dan 37 Notis Seksyen 64(1) (Sita),” katanya semasa sidang akhbar di sini malam tadi.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan ialah nombor pendaftaran tidak mematuhi spesifikasi sebanyak 97 kes, kesalahan ekzos (77), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (66), tiada perlindungan insurans (57), cermin gelap atau sisi (44) dan pengubahsuaian bentuk (11).
Turut dikesan sebuah kenderaan yang diubah suai sehingga kedudukan badannya terlalu rendah dan hampir mencecah permukaan jalan atau disifatkan sebagai kereta yang ‘berjalan seperti lipan’.
Dalam operasi sama, JPJ menyita 37 kenderaan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Tambah beliau, JPJ memberi amaran keras bahawa jalan raya awam bukan medan untuk mempamerkan pengubahsuaian ekstrem, menguji keupayaan kenderaan atau melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain. –UTUSAN
The post Op Ekstrem : 97 kenderaan dikenakan tindakan appeared first on Utusan Malaysia.





