96% rakyat Malaysia miliki capaian internet pada 2022 - DOSM

27 Nov 2023 • 4:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

96% rakyat Malaysia miliki capaian internet pada 2022 - DOSM

zulfadli

27/11/2023 - 16:05

KUALA LUMPUR 27 Nov - Malaysia mencatatkan sebanyak 96% capaian internet kepada isi rumah pada 2022, berdasarkan penemuan dalam bidang internet dan media sosial, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada segi kemudahan internet di peringkat daerah, Ulu Langat, Selangor mencatatkan peratusan capaian isi rumah kepada internet tertinggi iaitu 100% diikuti Sepang, Selangor (99.9%) dan Gombak, Selangor (99.7%).

"Daripada 156 daerah pentadbiran di Malaysia, 38 daerah pentadbiran mencatatkan peratusan capaian isi rumah kepada internet di bawah 90%," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam pada itu itu, pasaran buruh Malaysia terus mengukuh pada 2022 berikutan peningkatan berterusan bilangan tenaga buruh, merekodkan kenaikan sebanyak 1.4% kepada 16.02 juta orang (2021: 15.8 juta orang).

Momentum positif ini disumbangkan lonjakan bilangan penduduk bekerja dan pengurangan bilangan penganggur, selaras dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial serta semua negeri berada di peringkat terakhir Pelan Pemulihan Negara pada tahun tersebut.

Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.7 mata peratus merekodkan 69.3 peratus (2021: 68.6%).

Klang, Selangor mencatatkan KPTB tertinggi di peringkat daerah sebanyak 78.6% diikuti Petaling, Selangor (78.5%) dan Beluran, Sabah (78.3%).

image is not available

Dalam sektor kesihatan, bilangan personel perubatan kerajaan dan swasta pada 2022 meningkat 2.7% berbanding 2021. Bilangan doktor meningkat 2.2% kepada 79,443 orang berbanding 77,755 orang (2021).

Bilangan doktor gigi dan jururawat masing-masing turut meningkat iaitu sebanyak 6.9% dan 2.7% kepada 13,436 orang dan 139,698 orang pada 2022.

Justeru itu, nisbah doktor kepada penduduk di Malaysia bertambah baik pada 2022 iaitu seorang doktor kepada 412 penduduk (1:412) berbanding 2021 (1:419).

Nisbah doktor kepada penduduk di Malaysia pada 2022 juga mencapai sasaran nisbah 1:425 yang disasarkan dalam Pelan Strategik KKM 2021-2025.

Tujuh negeri mencapai sasaran nisbah 1:425 iaitu Kelantan (1:417), Melaka (1:366), Negeri Sembilan (1:346), Perlis (1:405), Pulau Pinang (1:407), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1:193) dan Putrajaya (1:52).

Merujuk kepada perkhidmatan kebajikan, bilangan kumulatif Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar pada 2022 meningkat sebanyak 8.6% kepada 674,548 orang berbanding 621,248 orang pada 2021.

Kategori ketidakupayaan fizikal mencatatkan peratus tertinggi iaitu 36.3% diikuti masalah pembelajaran (35.1%) dan penglihatan (8.8%).

Di peringkat daerah, Johor Bahru, Johor merekodkan bilangan kumulatif OKU yang berdaftar tertinggi iaitu 44,998 orang diikuti Petaling, Selangor (32,534 orang) dan Klang, Selangor (19,241 orang).

Seramai 535,321 orang di Malaysia menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sabah mencatatkan bilangan penerima bantuan tertinggi pada 2022 iaitu 63,932 orang, diikuti Johor (54,536 orang) dan Sarawak (52,516 orang). - DagangNews.com