Raaquu catat jualan lebih RM1 juta penghasilan tembikar, seramik pada 2022
zulfadli
27/11/2023 - 10:36
KUALA LUMPUR 27 Nov - Jenama seni tembikar tempatan, Raaquu mencatatkan jualan bagi penghasilan produk tembikar dan seramik melebihi RM1 juta buat julung kalinya pada 2022.
Pengarah kreatif dan pakar seramik Raaquu, Adil Abdul Ghani berkata, beliau mengenali seni tembikar kira-kira 15 tahun lepas ketika menjalani latihan pembuatan tembikar di Jepun.
Beliau berkata, dia bagaikan 'terpaku' dengan keunikan tembikar tersebut dan mula membuat kajian mendalam tentang proses penghasilan tembikar yang dinamakan Raku.
Katanya, Raku merupakan satu teknik pembakaran tembikar yang berkait rapat dengan ketelitian yang juga dapat dilihat dalam seni hidangan teh daripada tamadun kuno Jepun.
"Seramik hasil teknik Raku amat istimewa kerana ia dihasilkan dengan pelbagai kebarangkalian serta motif luar jangkaan yang kadang kala amat mengejutkan.
"Bersesuaian dengan slogan jenama iaitu 'Diwarnakan Oleh Api', teknik pembakaran dilakukan di dalam sebuah dapur dengan tahap kepanasan maksimum dan dialihkan ketika seramik tersebut masih hangat membara atau ‘molten’.
"Ia kemudiannya diletakkan di dalam sebuah bekas berpenutup kedap udara yang diisi penuh dengan habuk kayu dan kertas," katanya dalam kenyataan media di sini.

Adil berkata, pertembungan suhu serta tahap kepanasan berlawanan di dalam ruang khas itulah yang memberikan corak serta warna-warna yang unik dan yang paling menarik sekali, apabila teknik Raku tersebut menghasilkan rona-rona yang jarang dapat dilihat.

"Setakat ini, seramik dari Raaquu hasil dari teknik pembakaran kuno Jepun yang kami praktikkan dan ditambah pula dengan sentuhan kontemporari yang unik kepada Raaquu, kesemuanya ternyata berbeza dan punyai keunikan masing-masing.
"Ini bukan sahaja menjadikan setiap produk Raaquu menjadi idaman pengumpul tegar jenama ini, ia juga sering menjadi topik perbincangan hangat di laman-laman forum tentang seni seramik," katanya.

Katanya, bahan mentah dalam pembuatan produk keluaran Raaquu, terutamanya tanah liat, diperolehi dari mukim Sayong, Perak, yang juga merupakan tempat kelahiran salah satu produk tradisional negara yang terkenal iaitu Labu Sayong.
"Saya berpendapat bahawa pertembungan elemen sejarah negara Jepun dan Malaysia menjadikan Raaquu luar biasa justeru meletakkannya di tahap lebih istimewa," katanya.


Produk Raaquu hadir dalam pelbagai saiz, daripada pasu mini sebesar tapak tangan sehinggalah ke produk eksperimental dari koleksi 'Life Magnified'.
Ketika ini Adil sedang sibuk membuat persiapan bagi pameran solo Raaque yang pertama dijadualkan pada pertengahan Januari 2024. - DagangNews.com


