97 Kotak Ayam Sejuk Beku Tanpa Sijil Halal, Karkas Babi Bernilai RM1.5 Juta Dirampas

LocalFood
2 Apr 2026 • 11:54 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

97 Kotak Ayam Sejuk Beku Tanpa Sijil Halal, Karkas Babi Bernilai RM1.5 Juta Dirampas

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Sebanyak 97 kotak ayam sejuk beku tanpa sijil halal dan 34 tan karkas babi bernilai RM1.5 juta dirampas dalam serbuan di tiga premis di Kampung Baru Subang, Selangor, semalam.

Komander Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB)/Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman (JKDNKA) SAC Mohd Zaki Ashar berkata serbuan dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Turut terlibat ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Pasukan serbuan turut menyita tiga alat penimbang dan tiga lori satu tan menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM1.9 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga:

Beliau berkata sebanyak 32 individu termasuk tiga pemilik dan pengurus syarikat berusia antara 22 hingga 59 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Mohd Zaki berkata beberapa agensi terlibat turut mengeluarkan kompaun atas pelbagai kesalahan yang dikesan di lokasi terbabit manakala kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.

Beliau berkata kejayaan operasi itu secara tidak langsung berjaya memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan dan pengedaran serta penjualan makanan sejuk beku seludup yang dikesan aktif di sekitar Lembah Klang.

Pihak berkuasa, katanya akan terus mempergiat pemantauan bagi memastikan keselamatan makanan dan pematuhan undang-undang serta peraturan yang ditetapkan oleh agensi berkaitan sentiasa dipatuhi.