Isu peralatan telekomunikasi Huawei di United Kingdom mendapat perhatian dunia kerana desakan yang kuat dari Amerika Syarikat. A.S ingin menarik aset ketenteraan dan perkongsian maklumat sulit sekiranya UK terus menggunakan kelengkapan 5G dari Huawei. UK pada awalnya enggan tunduk kepada desakan tetapi menurut laporan The Daily Telegraph, penggunaannya akan dihentikan menjelang 2023.

Amerika Syarikat telah menghalang Huawei dari pembekal cip yang menggunakan teknologi milik mereka minggu lalu. Tanpa akses kepada cip-cip ini, bukan sahaja perniagaan peranti mudah alih Huawei terjejas tetapi juga perniagaan telekomunikasi mereka. Huawei telahpun menegaskan halangan terkini ini adalah berniat jahat dan tidak berasaskan sehingga merugikan pengguna kelengkapan mereka di seluruh dunia.
