SHAH ALAM, 15 FEB: Kerajaan Selangor menjalankan program pemutihan sejak Oktober 2019 tanpa penyertaan kilang yang menjadi punca pencemaran di negeri ini.
EXCO kerajaan tempatan berkata program tersebut dikhususkan untuk kilang beroperasi tanpa kebenaran mendapat lesen maka tidak mungkin premis yang menyebabkan masalah berkaitan diterima menyertainya.
“Setakat ini program pemutihan telah tamat pada Disember tahun lalu selepas ia dilanjutkan pada September akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) yang mempersoalkan proses pemutihan di negeri ini mengambil masa terlalu lama sehingga terdapat premis berisiko mencemari sumber air.
Katanya, Kerajaan Negeri telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap kilang yang terlibat dengan aktiviti pencemaran itu.
“Sepanjang PKP, operasi memantau aktiviti menyebabkan pencemaran dijalankan berterusan malah tindakan bersepadu PBT bersama agensi luar terutamanya Jabatan Alam Sekitar dengan tumpuan di kawasan berhampiran sungai.
“Oleh itu, sebarang kegiatan mengakibatkan perkara itu harus dan akan dikenakan tindakan,” katanya.
Sehingga 3 November tahun lalu, Sze Han berkata sebanyak 5,589 kilang beroperasi tanpa kebenaran dikesan di negeri ini dengan 869 berada berdekatan sumber sungai utama.
Antara tertinggi membabitkan kilang terletak dalam pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjumlah 546 dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sebanyak 155.
The post Kilang punca pencemaran tak terlibat program pemutihan appeared first on Selangorkini.



