SHAH ALAM, 25 FEB: Dato’ Menteri Besar selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini, sekali gus menjadi antara 42 individu terawal di Selangor yang berbuat demikian.
Dato’ Seri Amirudin Shari menerima suntikan dos pertama di Aras 2 Auditorium Hospital Shah Alam, di sini pada jam petang 1.40 petang oleh jurusuntik Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.
Beliau yang tiba di pusat kesihatan terbabit pada jam 1.25 petang mengimbas kod MySejahtera, salah satu dari lima kaedah pendaftaran untuk mendapatkan vaksin.
Beliau kemudian diberi penerangan ringkas sebelum menandatangani dokumen pengisytiharaan diri dan persetujuan individu untuk disuntik.
Dato’ Menteri Besar selepas itu dibawa ke ruangan khas untuk dipantau antara 15 hingga 30 minit bagi mengesan gejala atau kesan sampingan sebelum mendapat pelepasan.
Turut menerima suntikan ialah Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron dan
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman.
Pada 21 Februari, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari kilang di Belgium.
Selangor menerima 78,000 daripada jumlah tersebut yang akan mengutamakan wakil rakyat dan petugas hadapan serta diagih secara berperingkat mengikut kumpulan sasaran atau berkepentingan.
The post MB antara individu terawal selesai terima suntikan vaksin appeared first on Selangorkini.

