Wakil rakyat Selangor terima dos pertama vaksin hampir selesai

18 Mar 2021 • 8:35 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 18 MAC: Proses suntikan dos pertama vaksin ke atas Ahli Dewan Negeri (ADN) dan ahli parlimen di Selangor hampir selesai sejak dimulakan dua minggu lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata semua wakil rakyat berkenaan mendapat suntikan awal di pejabat kesihatan daerah (PKD) dan hospital berhampiran menerusi program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Mereka mula menerima vaksin seminggu selepas saya disuntik dan masing-masing bergerak mengikut daerah. Jadi ketika ini kebanyakannya menunggu memperoleh suntikan dos kedua dalam tempoh tiga minggu.

“Langkah ini (bergerak mengikut daerah) diambil supaya mereka tidak perlu berkumpul pada satu-satu masa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas selesai melengkapkan suntikan dos kedua di Hospital Shah Alam di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 45,000 daripada 66,690 petugas barisan hadapan di negeri ini meliputi anggota kesihatan dan keselamatan menerima dos pertama setakat hari ini sekali gus mencatat jumlah penerima tertinggi dalam negara.

“Walaupun pada peringkat awal kelihatan agak perlahan tetapi prosesnya sangat tinggi dan saya percaya dengan kepantasan ini, fasa pertama akan selesai menjelang April nanti,” katanya.

Amirudin turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan memulakan kempen pendaftaran vaksin fasa seterusnya dalam masa terdekat selepas perbincangan bersama pemimpin akar umbi bagi memudahkan masyarakat menyertai program tersebut.

The post Wakil rakyat Selangor terima dos pertama vaksin hampir selesai appeared first on Selangorkini.