Selangor gerakkan akar umbi bantu penduduk daftar vaksin

6 Mar 2021 • 4:41 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

AMPANG, 6 MAC: Pemimpin akar umbi akan digerakkan mulai minggu hadapan bagi membantu masyarakat Selangor mendaftar untuk pengambilan vaksin Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata kumpulan berkenaan menumpukan kawasan orang ramai seperti pasar selain berkunjung dari rumah ke rumah sebagai langkah menarik orang ramai melakukan pendaftaran.

“Dalam beberapa hari lagi kita akan beri taklimat menyeluruh. Kita sasarkan rakyat Selangor menerima vaksin menjelang hujung tahun.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada pembelian vaksin yang dijangka pada Mei ini. Pendaftaran harus dilakukan cepat bagi membolehkan suntikan dibuat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui.

Terdahulu beliau bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad hadir ke Program Turun Padang Parlimen Ampang.

Menurutnya Kerajaan Selangor kini sedang mengenal pasti penerima suntikan fasa kedua serta ketiga selain lokasi suntikan yang sesuai.

“Pegawai daerah serta yang dipertua majlis antaranya yang tergolong sebagai penerima fasa kedua kerana mereka terlibat menjaga pusat vaksin,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, Amirudin bersama EXCO Kerajaan Negeri antara 42 individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Shah Alam.

Turut disuntik, Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman.

The post Selangor gerakkan akar umbi bantu penduduk daftar vaksin appeared first on Selangorkini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved