Dugaan suami sakit jantung dan ayah lumpuh, wanita ini ambil tanggungjawab sara keluarga dengan jualan tepi jalan

7 Mar 2021 • 10:31 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

TANGGUNGJAWAB Rosmiza Osman cukup berat. Beliau bukan sahaja menjaga suaminya, Alamshah Omar, 63, yang menderita sakit jantung, malah turut memberi sepenuh perhatian kepada bapanya yang lumpuh.

Pada masa sama, adik beliau, Nursuhada Hasan, 36, yang juga seorang ibu tunggal bersama seorang anak yang berusia enam tahun turut tinggal di rumahnya selepas tiada tempat lain untuk menumpang teduh.

Wanita yang berusia 53 tahun itu bukanlah seorang yang berwang. Demi survival kehidupan diri dan juga orang yang di sekelilingnya, beliau hanya menjual kuih-muih, laksa dan air kelapa di Taman Seri Andalas, Klang, Selangor.

”Seusai Subuh, saya dengan adik siapkan kuih-muih sebelum memulakan jualan pada jam 1.30 tengah hari. Inilah punca rezeki kami sekeluarga.

”Kadang-kadang habis, kadang-kadang tak laku. Macam itulah adat berniaga,” ujarnya yang tidak pernah kenal erti penat dan berniaga hampir setiap hari demi sesuap nasi.

image is not available

Pun begitu, untuk memperoleh pendapatan sebanyak RM50 sehari sangat sukar, katanya.

”Saya malu nak bercerita, tetapi hakikatnya, kehidupan kami kini semakin sulit ditambah dengan penangan wabak Covid-19. Saya tidak mahu mengeluh atau merungut kerana inilah dugaan hidup saya.

”Saya kena terus berniaga sebab inilah pendapatan utama saya sekeluarga. Suami saya pula tidak bekerja sebab kurang sihat, tetapi beliau tolong saya angkatkan barang-barang berat ke tapak berniaga, saya memang tak larat,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Menceritakan secara terperinci tentang perihal familinya, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, adiknya telah bercerai kira-kira sembilan bulan lalu.

”Saya simpati dengan nasibnya, tetapi apabila dia duduk bersama saya, sekurang-kurangnya dia dapat membantu saya membuat kuih dan laksa sambil sama-sama jaga ayah,” katanya.

image is not available

Bercerita mengenai keadaan ayahnya, Osman Hashim pula, Rosmiza berkata, lelaki yang berusia 77 tahun itu telah terlantar sejak lebih 40 tahun lalu selepas terpijak bom ketika berkhidmat sebagai anggota tentera di sempadan negara pada tahun 1977.

Bapanya yang hanya mampu terbaring di katil bujang yang terletak di sudut ruang tamu rumah itu, bagaimanapun masih gigih untuk bangun sendiri sambil dibantu ke bilik air menggunakan kerusi roda.

”Sebelum ini, ayah duduk bersama emak di Perak, namun selepas emak meninggal pada tahun 2000, kami adik beradik bergilir-gilir jaga ayah sebab risau keadaannya yang tidak boleh berjalan. Kalau ada depan mata, lega sikit hati ini,” ceritanya dengan genangan air mata.

Kad tentera

Pendapatannya yang tidak seberapa ditambah dengan tanggungan yang ramai membolehkan Rosmiza memperoleh bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membiayai sewa rumah secara bulanan.

”Syukurlah ada bantuan RM700 dari LZS dan saya perlu tambah RM200 untuk mencukupkan bayaran sewa RM900 setiap bulan. Alhamdulillah nasib ayah pun sudah mula mendapat perhatian daripada pihak tertentu,” katanya.

image is not available

Baru-baru ini, SinarPlus bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Klang diketuai Pengerusi Perkim Negeri Selangor, Mohd Fitri Abdullah dan Pengerusi Perkim Klang yang juga pakar motivasi terkemuka, Hushim Salleh membuatkan kunjungan ke rumah Rosmiza.

Kehadiran kami yang tampil menghulurkan sumbangan disambut dengan linangan air mata kesyukuran oleh keluarga berkenaan.

Dalam reaksi segeranya, Rosmiza berkata, beliau sangat terharu apabila nasib mereka sekeluarga terbela.

”Hanya ALLAH sahaja yang mampu membalas jasa mereka yang membantu menghulurkan bantuan berbentuk wang ringgit, tandas mudah alih dan kerusi roda untuk memudahkan ayah menguruskan diri.

”Saya tidak boleh nak gambarkan perasaan ini apabila ada pihak yang masih prihatin dengan keadaan kami dan membantu meringankan beban yang ditanggung khususnya buat ayah,” katanya dengan nada tersekat-sekat.

image is not available

Pada masa sama, beritahu Rosmiza, beliau sedang berusaha membuat kad veteran tentera untuk ayahnya atas bantuan Perkim Klang. Dengan kad berkenaan, mudah untuk warga emas itu untuk memperoleh bantuan.

Kepada orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga itu, boleh salurkan bantuan kewangan terus ke akaun Bank Islam 1224302009231 atas nama Rosmiza Osman.

 

The post Dugaan suami sakit jantung dan ayah lumpuh, wanita ini ambil tanggungjawab sara keluarga dengan jualan tepi jalan appeared first on Sinar Plus.