Selangor FC lancar jersi terbaharu konsep futuristik

1 Mar 2021 • 11:46 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 1 MAC: Selangor FC (SFC) terus mempersiapkan pasukan itu apabila Red Giants hari ini melancarkan jersi Away untuk kegunaan di padang lawan bagi musim 2021 secara digital.

Pelancaran jersi itu adalah pelancaran jersi kedua musim ini setelah jersi Home bagi musim ini dilancarkan pada 1 Februari lalu.

SFC dalam kenyataan media berkata jersi itu berwarna asas biru gelap dan disertakan dengan corak berwarna biru neon direka untuk menyuntik unsur progresif dan adunan jati diri kelab berteraskan motif setiap daerah di Selangor.

Katanya pemilihan warna biru gelap melambangkan kesepaduan rakyat Selangor yang bersatu dalam memberi sokongan padu kepada pasukan Gergasi Merah, manakala warna biru neon pula simbolik kepada pembaharuan untuk masa depan.

“Tampil dengan nafas baru, logo 3D Selangor FC ditekap pada jersi Away 2021 ini juga diubah kepada warna biru gelap dan biru neon untuk menepati tema warna dan simbolik kepada keterbukaan kelab untuk berevolusi mengikut peredaran zaman.

“Selain itu, jersi ini juga dipadankan dengan motif peta negeri Selangor yang menekankan reka bentuk sembilan daerah dalam negeri ini yang merupakan tulang belakang pasukan ini. Warna merah kuning juga dicetak dan disematkan dengan jelas pada bahagian belakang kolar jersi ini,” katanya di laman sesawangnya malam ini.

Untuk rekod, warna biru gelap sering kali menjadi warna jersi Away untuk pasukan Selangor apabila jersi biru gelap kali terakhir pada musim 2018, selain pernah digunakan sejak sekitar tahun 1980-an lagi.

SFC berkata konsep ini berbeza dengan unsur retro diketengahkan oleh jersi Home dilancarkan sebelum ini dan ia memberikan lembaran baharu pasukan Selangor yang baru melalui penstukturan semula pada musim 2019.

“Suntikan elemen moden ini sebenarnya simbolik kepada DNA baharu SFC yang sedang dibangunkan bagi membina sebuah pasukan mampan dengan usaha melahirkan dan mengetengahkan pemain muda.

“Ini termasuk program pembangunan bola sepak akar umbi dalam mengasah dan memberi peluang kepada bakat muda bola sepak sambil menerapkan acuan falsafah bola sepak Selangor,” katanya.

SFC berkata DNA baharu bola sepak adalah elemen terpenting yang membentuk falsafah, budaya dan arah tuju kelab itu dengan matlamat memastikan kelestarian Gergasi Merah dalam semua peringkat.

“Lebih menarik, jersi ini juga dilengkapi kod QR istimewa apabila pemilik bakal mendapat akses kepada konten ekslusif yang tidak ditawarkan kepada pihak umum. Sebagai permulaan, pembeli jersi ini bakal diberikan akses memuat turun wallpaper ekslusif sempena pelancaran jersi ini.

“Selain itu, seperti jersi Home 2021, jersi away ini turut disematkan riben bertulisan “85 Years Creating A Legacy” pada bahagian belakang kolar, selari dengan DNA pasukan yang ingin terus melahirkan bakat baru di samping mewujudkan ‘winning mentality’ dalam kalangan pemain dan pengurusan,” katanya.

Pihak pengurusan SFC berharap jersi Away musim 2021 bertemakan kesepaduan rakyat Selangor serta unsur moden ini dapat membawa aura kejuaraan serta meniup semangat perjuangan tinggi kepada pemegang taruh Selangor FC dalam misi memburu kejayaan.

“Jersi Away baharu ini kini boleh dibeli di SelangorFC.com dengan harga RM109 untuk edisi pemain.

“Penyokong Selangor berdaftar sebagai pemegang Red Giants Team Card 2021 pula menerima diskaun sebanyak 10 peratus untuk setiap pembelian jersi pada tahun ini,” katanya.

The post Selangor FC lancar jersi terbaharu konsep futuristik appeared first on Selangorkini.