Pewaris gembira bantuan SMUE dilulus segera, permudah urusan

10 Mar 2021 • 11:08 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

GOMBAK, 10 MAC: Pewaris penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE) melahirkan rasa gembira berikutan proses mendapatkan bantuan itu dibuat dalam tempoh singkat.

Suresh Kalidasan, 46, berkata beliau tidak menjangka permohonan ibunya diluluskan dalam masa kurang sebulan.

image is not available
Suresh Kalidasan, 46. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Sebelum ini bapa saya menerima skim berkenaan namun setelah beliau meninggal, pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua meminta ibu pula memohon.

“Beliau gembira kerana melalui skim ini akan mendapat bantuan Jom Shopping dan wang khairat kematian sama seperti mendiang bapa saya,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, seorang lagi pewaris penerima, Vs Looruthumary, 57, berkata wang khairat kematian diberi Kerajaan Negeri itu membantu keluarganya menguruskan perbelanjaan pengebumian mendiang ibunya pada Januari lalu.

image is not available
Vs Looruthumary, 57. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Terima kasih kerana sumbangan ini, walaupun sudah tiada, mereka (kerajaan) masih beri bantuan untuk memudahkan pewaris,” katanya.

Kedua-dua mereka ditemui ketika ziarah kasih dan penyerahan khairat kematian SMUE oleh Dato’ Menteri Besar di Taman Jasa Utama, di sini, petang semalam.

Pada Januari lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata SMUE 2.0 ditambah baik dengan pemberian baucar Jom Shopping serta penambahan bantuan khairat kematian sebanyak RM500.

Orang ramai boleh melayari laman portal e-mesra.yawas.my untuk memohon bantuan skim berkenaan.

The post Pewaris gembira bantuan SMUE dilulus segera, permudah urusan appeared first on Selangorkini.