Ingenuity Terbang Di Marikh – Pesawat Buatan Manusia Pertama Melakukannya Di Luar Planet Bumi

TechnologyDigital
19 Apr 2021 • 7:17 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Neil Armstrong berkata “satu langkah kecil untuk seorang manusia, satu lompatan gergasi untuk manusiawi” ketika mendarat di bulan permukaan bulan 52 tahun yang lalu. Sebentar tadi NASA mengesahkan helikopter Marikh Ingenuity berjaya menjadi pesawat buatan manusia yang pertama berjaya melakukan penerbangan di luar planet bumi.

Ingenuity berjaya melakukan mengapung selama 40 saat dalam penerbangan sulungnya hari ini. Ia adalah kejayaan besar manusiawi kerana membuka pintu kepada penerokaan planet Marikh yang lebih menyeluruh sebelum misi menghantar manusia dilakukan.

Untuk menerbangkan Ingenuity di Marikh bukanlah perkara mudah kerana atmosferanya yang lebih nipis berbanding bumi. Dua pasang kipas Ingenuity perlu berputar 2500 kali seminit berbanding hanya 500 putaran seminit di atmosfera bumi.

image is not available
Ilustrasi Ingenuity – NASA

Helikopter Marikh ini tiba ke planet merah bersama dengan perayau Perseverance pada 19 Februari lalu. Misi pendaratan Perseverance itu sendiri mengukir sejarah kerana ia diturunkan menggunakan kren angkasa lepas pertama dunia. Sistem ini membolehkan ia mendarat di lokasi yang tepat berbanding sistem beg udara yang digunakan untuk kenderaan perayau NASA yang terdahulu.