Imunisel bantu warga emas, Orang Asli daftar suntikan vaksin

4 Apr 2021 • 2:53 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PUCHONG, 4 APRIL: Kerajaan Negeri melancarkan program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (Imunisel) untuk memastikan semua golongan mendaftar suntikan vaksin.

Dato’ Menteri Besar berkata program menyasarkan warga emas dan Orang Asli yang tidak mahir menggunakan aplikasi di telefon atau mempunyai capaian internet terhad.

“Kajian Jabatan Perangkaan mendapati 30 peratus rakyat negeri ini tidak cekap menggunakan telefon.

image is not available
Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah (dua kiri) dan Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) memegang replika kad pendaftaran Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (Imunisel) di Dataran Puchong Permai, Puchong pada 4 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Golongan ini kebiasannya menggunakan gajet hanya untuk membuat dan menerima panggilan serta WhatsApp sahaja,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada pelancaran program terbabit di sini.

Beliau menambah peserta yang mendaftar akan menerima kad tertera kod QR yang boleh diimbas untuk menyemak tarikh suntikan vaksin.

Jelasnya, pusat khidmat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, ahli majlis serta ketua kampung akan bergerak aktif membantu proses pendaftaran.

Setakat semalam, hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta penduduk Malaysia mendaftar program suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

Pada 23 Februari, Amirudin berkata sebanyak dua hingga lima juta dos vaksin Covid-19 yang mahu dibeli Kerajaan Negeri dijangka diterima pada Mei atau Jun.

Beliau menjelaskan pembelian itu penting bagi membantu mempercepat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

The post Imunisel bantu warga emas, Orang Asli daftar suntikan vaksin appeared first on Selangorkini.