'Tolong cari ayah saya'

27 Apr 2021 • 11:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Seorang gadis di sini memohon bantuan orang ramai bagi mengesan ayah kandungnya yang hilang sejak dua tahun lalu.

Nor Azila Samsudin, 26, berkata, pada tahun 2008, kedua ibu bapanya telah bercerai dan sejak itu dia tidak pernah menemui ayahnya, Samsudin Ithnen, 62, kerana menetap bersama ibunya, Samsiah Yaakub, 56, di kampung mereka sekitar Kuala Lipis, Pahang.

Bagaimanapun, Nor Azila berkata, setelah dia bekerja di Kuala Lumpur, bapanya itu telah kembali menemuinya sekitar tahun 2019 dan turut tinggal bersamanya.

"Pada waktu itu, ayah datang menemui saya kembali setelah beberapa tahun tidak berjumpa dan selepas seminggu bersama, dia tiba-tiba keluar dari rumah tanpa maklumkan apa-apa kepada saya," katanya kepada Sinar Harian.

Sejak itu, Nor Azila berkata, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menjejaki ayahnya termasuk dengan menghubungi keluarga rapat mereka bagi mengenal pasti lokasi ayahnya.

Namun begitu, Nor Azila berkata, ahli keluarga bapanya juga tidak mengetahui lokasi terkini ayahnya sehingga kini.

"Kami turut melakukan usaha pencarian menerusi laman sosial, namun masih gagal mengesan lokasi terkini ayah saya," katanya.

Dalam pada itu, Nor Azila berkata, selain merindui Samsudin, dia juga perlu mencari ayahnya itu untuk menjadi wali bagi perkahwinannya bersama pasangan, Muhammad Hafizu, 26, yang dijadualkan berlangsung pada akhir Mei depan.

Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai Samsudin boleh berhubung terus dengannya di talian 019-7595439.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved