Dr Dzulkefly: PKP tidak boleh lama tapi harus tegas, keras

9 May 2021 • 9:30 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KAJANG, 9 MEI: Tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor ketika ini adalah singkat, namun boleh mendatangkan mudarat jika terlalu lama.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berpandangan negeri itu memerlukan sekurang-kuranya 28 hari bagi menurunkan jumlah kes Covid-19.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata PKP 1.0 pada Mac tahun lalu berjaya mengurangkan kes, namun boleh memberi kesan tidak baik khususnya kepada rakyat.

image is not available
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap kepada media pada program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Perkara paling penting bukan memanjangkan tempoh itu terlalu lama sebaliknya penguatkuasaan, pematuhan dalam waktu itu…kerana kita tahu PKP ini memudaratkan kepada rakyat.

“Kalau betul-betul kita nak buat PKP perlu pantas, tegas, keras tetapi singkat. Jangan terlalu lama kerana beban kepada ekonomi, rakyat,” katanya ditemui pada program saringan Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian semalam.

Sementara itu, Dr Dzulkefly mengakui saringan besar-besaran ketika ini akan meningkatkan jumlah kes, namun berpotensi mengenal pasti jangkitan sekali gus mengawalnya.

“Kita akan gagal jika mengekori virus dan tidak mengatasinya. Ia hanya dapat diatasi jika kita meningkatkan ujian, selepas ujian dibuat kita tingkatkan isolasi.

“Jangan izinkan yang positif merayau, sebab itu kit ujian pantas ini penting bukan 48 jam tunggu keputusan dan dalam tempoh itu individu itu merayau. Ini menyebabkan kita gagal mengawal,” katanya.

The post Dr Dzulkefly: PKP tidak boleh lama tapi harus tegas, keras appeared first on Selangorkini.