SHAH ALAM, 31 MEI: Saringan Komuniti secara percuma anjuran Kerajaan Negeri diteruskan mengikut jadual sehingga 10 Jun ini, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok tidak menjejaskan program pengawasan Covid-19 secara aktif kerana dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihaknya perlu menyediakan laporan kepada polis selain meningkatkan kawalan di baki lokasi saringan.
“Tadi kita bincang (keputusan meneruskan program saringan) dan aktiviti ini dibenarkan dan tidak dihalang daripada arahan MKN.
“Kita cuba tingkatkan kawalan supaya tidak berlaku perhimpunan orang ramai pada satu-satu masa kerana ini antara usaha untuk mengelak rebakan Covid-19 di tempat baru,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau berkata demikian selepas menerima cek cura kempen kutipan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin Palestin sumbangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kediamannya hari ini.
Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya berusaha mempercepatkan program saringan memandangkan Selangor antara satu-satunya negeri yang melakukan pendekatan tersebut.
Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula esok hingga 14 Jun depan.
Kerajaan Selangor menjalankan program saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 8 Mei hingga 10 Jun.
Program memanfaatkan rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri selesai dijalankan di 36 DUN setakat ini.
The post MB: MKN benar saringan percuma diteruskan ketika PKP hingga 10 Jun appeared first on Selangorkini.



