Program vaksin Selangor libatkan 2.5 juta penerima

26 Jun 2021 • 11:30 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 26 JUN: Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) yang bermula Isnin depan melibatkan 2.5 juta penduduk termasuk pemain industri perkilangan, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata 500,000 dos vaksin lengkap akan diberikan kepada orang awam yang masih belum mendapat tarikh suntikan meskipun mendaftar sekian lama di aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata baki selebihnya melibatkan pasukan barisan hadapan pentadbiran Kerajaan Negeri terutama kakitangan agensi serta barisan guru.

“Vaksin turut ditawarkan kepada peniaga kecil dan pekerja e-panggilan kerana mereka merupakan penggerak ekonomi negeri.

“Pengusaha kilang yang membeli vaksin dari Kerajaan Selangor diingatkan memberi secara percuma kepada pekerja. Banyak pengusaha yang sanggup membeli daripada terpaksa menghentikan operasi,” katanya pada program bual bicara secara langsung di Facebook pada Khamis.

Jelas Dr Siti Mariah, sehingga kini permohonan imunisasi menerusi Selgate Healthcare Sdn Bhd (Selgate) menggalakkan hingga mencecah lebih empat juta permohonan.

SCVP dilaksanakan secara besar-besaran sebagai sokongan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan membuka lebih 20 pusat pemberian vaksin (PPV) bermula Isnin ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 memaklumkan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk menjayakan SCVP berkenaan.

The post Program vaksin Selangor libatkan 2.5 juta penerima appeared first on Selangorkini.