Ketua pembangkang sambut baik sidang DUN dibuka secepat mungkin

18 Jun 2021 • 3:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 18 JUN: Ketua pembangkang menyambut baik rancangan Kerajaan Selangor membuka sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) secepat mungkin.

Datuk Rizam Ismail berkata ini membolehkan semua wakil rakyat membahaskan pelbagai isu penting dan membantu melancarkan pengurusan kerajaan.

“Saya mengalu-alukan rancangan itu dan berharap sidang DUN dapat dibuka secepat mungkin seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

“Langkah ini demi kepentingan rakyat, banyak perlu dibahaskan seperti sejauh mana keberkesanan langkah Kerajaan Negeri dalam menangani kes Covid-19 di mana Selangor mencatatkan kes tertinggi,” kata Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar hari ini.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau akan berbincang dengan Speaker DUN, Ng Suee Lim bagi merancang pembukaan sidang DUN secepat mungkin.

Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin selepas mempengerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata di peringkat negeri Raja-Raja Pemerintah juga berpendirian agar DUN dibolehkan bersidang secepat mungkin.

The post Ketua pembangkang sambut baik sidang DUN dibuka secepat mungkin appeared first on Selangorkini.