Wakil rakyat puji komitmen buka sidang DUN secepat mungkin

18 Jun 2021 • 3:03 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 18 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) menyifatkan rancangan Selangor membuka sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) secepat mungkin sebagai menghormati demokrasi demi kepentingan rakyat.

Wakil rakyat Kota Anggerik Najwan Halimi berkata sidang itu adalah medan terbaik untuk membincangkan masalah rakyat terutama dalam keadaan mencabar susulan penularan Covid-19.

image is not available
ADN Kota Anggerik Najwan Halimi

“Saya menjunjung kasih kepada titah Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan Majlis Raja-Raja membenarkan Parlimen dan DUN bersidang demi kepentingan rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ADN Sungai Ramal Mazwan Johar menyuarakan rasa lega dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengembalikan semula proses demokrasi yang membawa isu dan masalah rakyat.

image is not available
ADN Sungai Ramal Mazwan Johar

“Sepatutnya pertengahan tahun ini kita perlu melihat semula perkembangan perbelanjaan dalam Bajet 2021 untuk melakukan tambah baik tetapi tidak dapat sebab ada sekatan darurat,” jelasnya.

Manakala ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin pula berpandangan perbahasan dalam sidang DUN boleh menjadi medan mencari penyelesaian berkesan secara bersama.

image is not available
ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin

“Memang sebagai wakil rakyat kami boleh untuk berbincang dengan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) dan pegawai kerajaan tetapi kalau dalam sidang boleh dibincangkan bersama untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah menitahkan sidang Parlimen dan DUN perlu diadakan secepat mungkin.

Semalam, Amirudin dilaporkan berkata beliau akan berbincang dengan Speaker DUN Ng Suee Lim bagi merancang pembukaan sidang DUN secepat mungkin.

Hari ini, Suee Lim berkata beliau akan mengutus surat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi memohon perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi pembukaan sidang dewan sekitar Ogos depan.

The post Wakil rakyat puji komitmen buka sidang DUN secepat mungkin appeared first on Selangorkini.