Selvax Industri bantu kekang jangkitan disebar dalam komuniti

4 Jul 2021 • 10:45 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 4 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri yang menyediakan dos suntikan pelalian kepada golongan pekerja kilang mampu mengurangkan jangkitan Covid-19 terhadap komuniti.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari selagi pekerja sektor terbabit tidak divaksin, golongan itu berisiko menyebarkan jangkitan wabak di luar tempat kerja.

“Sekiranya kita dapat memberikan vaksin sebanyak mungkin kepada pekerja kilang termasuk pekerja asing, maka kilang-kilang ini tidak perlu ditutup.

“Walaupun kita menutup kilang dan pekerja tinggal di rumah, mereka masih akan dijangkiti selagi tidak diberi vaksin,” kata Dato’ Menteri Besar menerusi wawancara eksklusif bersama The Star.

Beliau berkata, usaha ini akan membendung ancaman berterusan kluster tempat kerja selain membolehkan syarikat beroperasi jika terdapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa depan.

Rabu lalu Amirudin mengumumkan Selvax Industri yang menyediakan dua juta dos vaksin kepada sejuta pekerja negeri ini termasuk warga asing bagi mengawal dan melindungi semua pihak memandangkan sejumlah besar kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.

Pada 15 Jun, Dato’ Menteri Besar berkata pemberian vaksin ditumpukan kepada pekerja industri bagi mengelakkan virus merebak kepada masyarakat berikutan sektor itu masih mencatat jangkitan tinggi.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai melalui pautan https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.

The post Selvax Industri bantu kekang jangkitan disebar dalam komuniti appeared first on Selangorkini.