Labuan Catat 100.13 Peratus Dos Pertama Vaksin COVID-19

12 Aug 2021 • 9:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rithuan menunjukkan Sijil Vaksin COVID-19 ketika memeriksa operasi kedai makan dalam Ops Pemantauan SOP dine in, hari ini.

LABUAN - Labuan berjaya mencatatkan kadar vaksinasi 100.13 peratus bagi suntikan pertama vaksin COVID-19 manakala 90 peratus lagi untuk individu yang telah melengkapkan kesemua dos diperlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah (JPBD) Labuan, Rithuan Ismail berkata, ia adalah pencapaian yang amat memberangsangkan, sejajar dengan usaha menjadikan pulau ini sebagai wilayah hijau bebas COVID-19.

"Ini adalah hasil komitmen semua pihak termasuk Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), Ketua Kampung dan Pasukan Prihatin Volunteer (PriVo) yang memastikan program vaksinasi berjalan lancar, dengan turun ke semua kampung untuk membuat hebahan.

“Ia juga menandakan kejayaan JPBD dalam memastikan Labuan berjaya mewujudkan imuniti kelompok, seperti disasarkan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya kepada media pada Ops Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dine in di beberapa premis di sini hari ini.

Rithuan memaklumkan, Labuan bakal mencapai 100 peratus imuniti kelompok menjelang akhir bulan ini.

"Kita akan meneruskan lagi program vaksinasi ini kepada individu yang belum mendapatkan dos lengkap vaksin, kerana majoriti terlibat sedang menjalani tempoh kuarantin atau berdepan masalah kesihatan,” jelasnya lagi.

JPBD Labuan tambah beliau, tidak ketinggalan melancarkan kempen dan pemantauan terhadap semua syarikat swasta dan kontraktor agar memastikan semua petugas melengkapkan dos vaksin masing-masing.

"Setakat ini, kira-kira 40 syarikat swasta berjaya memberikan dos lengkap kepada petugas mereka dan ia amat penting bagi memastikan Labuan selamat dari ancaman virus COVID-19,” tegasnya. – Getaran, 12 Ogos 2021