KPDNHEP Bekerjasama Dengan KKM, Kaji Harga Kit Ujian Kendiri COVID-19

14 Aug 2021 • 8:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kit ujian kendiri COVID-19

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengkaji harga dan kos kit ujian kendiri COVID-19, bagi menentukan harga runcit demi kepentingan pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kajian itu adalah perlu bagi memastikan harga ditetapkan untuk kit ujian kendiri itu tidak membebankan pengguna.

Katanya, KPDNHEP sedang menjalankan libat urus, kajian kos dan harga serta bekalan alat ujian kendiri COVID-19 terhadap beberapa syarikat yang telah dilesenkan, meliputi setiap rantaian pengedaran, pembekalan hingga peringkat runcit seperti farmasi dan klinik.

“Kit ujian kendiri COVID-19 adalah keperluan penting kepada pengguna untuk mengurus dan menjaga keselamatan kesihatan semasa negara berdepan dengan cabaran wabak COVID-19.

“KPDNHEP juga menyarankan agar pengguna lebih berhati-hati ketika membuat pembelian kit ujian kendiri di pasaran, dengan membuat rujukan di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (eng: Malaysia Device Authority-MDA) di pautan https://portal.mda.gov.my/ bagi mengenal pasti syarikat yang telah diluluskan untuk mengedar dan menjual kit ujian kepada orang awam," katanya. - Getaran, 14 Ogos 2021.