Vivo X70 Pro+ Pula Tertiris – Hadir Dengan Bonggol Kamera Gergasi

TechnologyDigital
26 Aug 2021 • 11:36 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pelancaran siri Vivo X70 dilihat semakin hampir. Vivo X70 dan Vivo X70 Pro sudah pun tertiris dengan beberapa spesifikasi yang menarik didedahkan. Kini giliran X70 Pro+ pula, yang mana adalah variasi paling premium di antara semua model dalam siri ini.

image is not available

Peranti ini dilihat menggunakan skrin 6.7-inci AMOLED jenis melengkung dengan skrin berlubang di tengah untuk kamera swafoto. Kemudian di belakang peranti, ia dilihat mempunyai bonggol kamera gergasi seakan Mi 11 Ultra – tetapi di sebelah kamera bukan skrin kedua dan sebaliknya adalah panel kaca tambahan yang memaparkan logo Zeiss dan spesifikasi sensor kameranya.

image is not available

Terdapat tiga sensor utama disusun menegak dengan sensor tambahan di sisi sebelah sensor paling bawah memberi bentuk seakan huruf “L”. Saiz bonggol ini dikatakan adalah 2.3mm tebal dan dengan saiz peranti 9mm ia menjadikan bahagian atas peranti ini bersaiz mencapai lebih 11mm. Pada sisi kanan peranti kelihatan butang kuasa dan butang aras suara dan di bawah pula memperlihatkan kekisi pembesar suara dan port USB-C.

image is not available

Di Google Play Console, peranti ini disenaraikan akan dijana dengan cip Qualcomm SM8350 – tetapi tidak pasti sama ada ia adalah Snapdragon 888 atau 888+ kerana kedua-duanya menggunakan kod nama yang sama. Memori dilihat adalah 8GB RAM sahaja dan resolusi peranti terhad kepada FHD+ 1080 x 2400. Peranti juga disenaraikan untuk menjalankan Android 11 yang mungkin masih kekal dengan Funtouch OS kerana masih tiada indikasi yang Origin OS akan tiba untuk pasaran global.

image is not available

Turut tidak pasti adakah versi global Vivo X70 Pro+ ini akan dilancarkan di Malaysia ataupun tidak. Vivo sudah lama tidak melancarkan peranti kelas mercu mereka di sini. Sama-sama kita nantikan.