Tunggakan Data Punca Kes Kematian Nampak Meningkat - KKM

12 Sep 2021 • 4:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Peningkatan jumlah kematian akibat COVID-19 yang dilaporkan pada 11 September iaitu 592 kes, adalah disebabkan KKM sedang menyelesaikan backlog dan jumlah kematian sebenar pada hari berkenaan sebenarnya hanya 100 orang. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Peningkatan jumlah kematian seperti dilaporkan semalam berpunca daripada tunggakan kes yang tidak dilaporkan sebelum ini.

Maklumat dikongsi laman sesawang COVIDNOW menunjukkan, 592 kes kematian harian dicatatkan, namun jumlah kematian sebenar pada 11 September hanya 100.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan (KKM), pihaknya sedang menyelesaikan tunggakan backlog berkaitan kematian akibat COVID-19 yang dicatatkan sejak hujung Julai hingga Ogos lalu dari beberapa negeri.

Katanya, perkara itu akan memakan masa beberapa hari lagi sebelum ia dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Kita mengambil masa antara 24 sehingga 72 jam untuk mengesahkan jika kematian seseorang individu itu berpunca daripada COVID-19.

“KKM perlu mendapatkan pengesahan punca kematian seseorang individu sama ada diakibatkan oleh COVID-19 atau tidak, kerana data itu bukan saja dikongsi kepada masyarakat malah turut dirujuk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya kepada Getaran.

Beliau berkata, data COVID-19 negara juga menjadi perhatian dunia, justeru segala maklumat harus disampaikan dengan teliti.

KKM turut menjangkakan kes harian COVID-19 mencatatkan peningkatan pada skala lebih besar beberapa hari lagi. 

Perkara lain yang akan dikemas kini adalah data tertunggak kes kematian dan kes sembuh mengikut tarikh sebenar pelaporan. - Getaran, 12 September 202