Spesifikasi Samsung Galaxy Tab A8 10.5 (2021) Tertiris – Mungkin Dilengkapi Cip UNISOC Tiger T618

TechnologyDigital
28 Sep 2021 • 11:35 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sebelum ini, timbul desas-desus mengenai ura-ura bahawa Samsung sedang mengusahakan tablet berukuran 10-inci versi mampu milik. Mungkin dikenali sebagai Samsung Galaxy Tab A8 10.5 (2021), beberapa informasi mengenai rekaan serta spesifikai pada tablet ini telah tertiris ke arena web.

image is not available

Dari segi rekaan, Samsung Galaxy Tab A8 10.5 (2021) akan mempunyai tubuh yang diperbuat daripada aluminium. Rekaan yang tertiris turut sama menunjukkan tablet tersebut akan dilengkapi saiz bezel yang agak tebal bersama penggunaan satu kamera di belakang. Seterusnya, tablet turut mempunyai empat pembesar suara yang menyokong Dolby Atmos, bicu audio 3.5mm dan port sambungan USB-C.

Seperti namanya, Samsung Galaxy Tab A8 10.5 (2021) dijangka menampilkan paparan bersaiz 10.5-inci TFT WUXGA dengan kadar segar semula standard 60Hz. Kemudian, ia juga besar kemungkinan dijana oleh pemproses Unisoc Tiger T618 dengan padanan memori sehingga 4GB RAM dan storan dalaman sehingga 128GB. Ini adalah cip pemprosesan yang sama boleh ditemui pada tablet HTC A100.

image is not available

Kamera utama adalah 8-Megapixel dan kamera swafoto pula sebesar 5-Megapixel yang boleh digunakan untuk tangkapan gambar atau panggilan video. Tidak ketinggalan, bateri sebesar 7,040mAh turut digunakan yang dijangka menyokong pengecasan 15W.

Samsung Galaxy Tab A8 10.5 (2021) mungkin hadir dalam beberapa pilihan warna seperti emas, perak dan kelabu. Ia juga dijangka akan dilancarkan dalam varian LTE dan WiFi sahaja. Maklumat mengenai tarikh pelancarannya masih menjadi misteri setakat ini.

Sumber : GSMArena, 91Mobiles