Galeri seni moden bukti Selangor hargai karya penggiat seni

27 Nov 2021 • 8:15 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 27 NOV: Galeri Seni Kontemporari dan Moden Shah Alam (SAMA) bakal diwujudkan tahun hadapan membukti Kerajaan Negeri menghargai karya penggiat seni, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata galeri tersebut memang sepatutnya ada bagi melengkapkan industri kebudayaan yang sedia ada iaitu muzium sejarah, tekstil dan setem.

“Biar pun ekonomi tidak memberangsangkan akibat Covid-19, saya lihat Selangor masih lagi menjaga kepentingan kebudayaan dan memelihara karya seni di Malaysia.

“Malah, peruntukan mempelbagaikan aktiviti program kebudayaan juga adalah penghargaan kepada penggiat seni dan budaya,” katanya kepada SelangorKini.

Borhan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat menyifatkan belanjawan pada kali ini seimbang kerana memanfaatkan semua golongan termasuk anak muda.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor memaklumkan Kerajaan Negeri bakal mewujdukan SAMA di Selangor.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri setuju membeli sebuah kompleks bangunan milik Bank Negara di tengah bandar raya Shah Alam berharga RM33.4 juta untuk dijadikan galeri itu yang mempamerkan karya seni dan menjadi pusat aktiviti kebudayaan.