
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen yang sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 akan mula menerima dos penggalak imunisasi virus itu, esok.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, pemberian dos penggalak itu adalah bagi melindungi wakil rakyat daripada kesan jangkitan pandemik berkenaan.
“Bagi melindungi Ahli Yang Berhormat yang mempunyai tanggungjawab untuk kerap bersama rakyat dan berisiko mendapat jangkitan COVID-19, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberikan dos penggalak kepada Ahli Yang Berhormat bermula esok, Selasa, 2 November 2021 dan tarikh seterusnya akan ditetapkan kelak.
“Pemberian dos penggalak esok akan bermula pada jam 9.30 pagi di Dewan Bankuet, Parlimen,” katanya.
Mohd Rashid berkata demikian di Dewan Rakyat, hari ini.
Bermula 13 Oktober lalu, kerajaan melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 di seluruh negara membabitkan individu yang sudah lengkap divaksinasi.
Pemberian dos penggalak itu bertujuan memberikan perlindungan kesihatan tertinggi dan memastikan imuniti tubuh dikekalkan selepas menerima dos lengkap untuk tempoh optimum.
Dos penggalak juga diberikan bagi melawan kesan virus Delta COVID-19 yang disahkan sebagai varian dominan di Malaysia, dengan ciri dan mutasi sedikit berbeza daripada varian asal. - Getaran, 1 November 2021

