Pengawal keselamatan maut motosikal langgar kerbau

4 Nov 2021 • 12:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

DUNGUN - Seorang pengawal keselamatan maut apabila motosikal yang ditunggang melanggar seekor kerbau dalam kejadian di Kilometer (KM) 22, Jalan Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) - Pasir Raja dekat Kampung Jongok Batu di sini pada Rabu.

Dalam kejadian jam 9.55 malam itu, mangsa, Amir Zailan Zazwi, 26, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, insiden berlaku ketika mangsa dalam perjalanan balik dari tempat kerja dari arah AMBS menghala ke Kampung Jongok Batu.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis EX5 yang ditunggang mangsa melanggar seekor kerbau yang ketika itu berada di atas jalan.

"Kerbau yang dilanggar itu telah menghilangkan diri ke dalam semak di sebelah kanan jalan," katanya kepada pemberita, pada Khamis.

Menurut Baharudin, mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.