
SHAH ALAM, 2 DIS: Sambutan Hari OKU Sedunia peringkat negeri disambut esok di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) serentak dengan Pesta Buku Selangor 2021.
Sambutan bakal dilancarkan EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud pada jam 2 petang.
Pesta memasuki hari kedua itu menampilkan Ustaz Syamsul Debat dalam program bertajuk Mencari Kegembiraan Bekerja Dalam Norma Baharu sebagai acara pembukaan.
Diikuti program Awas Bahaya Pedofilia: Kenali & Hindari yang disampaikan pegawai psikologi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor serta Socmed & Entrepreneurship dikendalikan Telekom Malaysia.
Beberapa program lain turut berjalan waktu pagi termasuk secara dalam talian antaranya QuranTime dan penerbitan buku kanak-kanak.
Sesi petang menampilkan kumpulan nasyid In-Team dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Naurah Care bagi memeriahkan suasana serta menghiburkan pengunjung.
Sasterawan Negara Dr Shamsuddin Osman turut hadir bagi acara Bicara Hati dan Minda Sasterawan pada 2.30 petang.
Pesta 11 hari sehingga 12 Disember depan berlangsung dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.
Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.
Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.


The post Sambutan Hari OKU peringkat negeri di Pesta Buku Selangor esok appeared first on Selangorkini.

