Ibu bapa boleh kawal masa penggunaan Instagram anak bermula tahun depan

Family & Parenting
9 Dec 2021 • 2:43 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Instagram bakal melancarkan lebih banyak ciri keselamatan pada tahun hadapan, terutamanya kepada pengguna remaja. Perkara ini diumum secara rasmi oleh ketua Instagram, Adam Mosseri.

3 perkara ibu bapa boleh pantau di Instagram anak

Pada bulan Mac 2022, sebuah ciri untuk ibu bapa mengawal akaun anak mereka akan sediakan oleh Instagram. Melaluinya ibu bapa dan penjaga boleh pantau 3 perkara di akaun anak iaitu, lihat jumlah masa yang diluangkan oleh anak-anak di Instagram, menetapkan had masa penggunaan dan menerima notifikasi jika mereka ada melaporkan tentang pengguna lain.

Seperti gambar yang dikongsikan Instagram di bawah, ibu bapa boleh lihat nama pengguna Instagram yang anak mereka laporkan. Seterusnya, dipaparkan juga purata harian masa yang diluangkan mereka di platform itu. Ibu bapa mempunyai kuasa untuk tetapkan masa penggunaan aplikasi itu untuk anak mereka sama ada, 3 jam, 2 jam, 1 jam, 45 minit atau 30 minit.

image is not available

Di samping itu, Instagram juga sedang membangunkan hab pendidikan untuk ibu bapa dan penjaga. Di situ, mereka menawarkan tips dan tutorial kepada ibu bapa tentang penggunaan media sosial kanak-kanak.

Keupayaan tag akan dimatikan

Dalam pada itu, pada tahun hadapan, Instagram akan mematikan keupayaan untuk pengguna tag atau mention remaja yang tidak mengikuti mereka. Kawalan dan ciri baharu yang direka ini boleh menjadikan platform itu tempat yang lebih selamat, terutamanya untuk pengguna remaja.

Satu halaman untuk uruskan aktiviti

Selain itu, bermula Januari 2022, semua pengguna Instagram boleh menguruskan aktiviti sendiri melalui halaman Your activity yang disediakan. Di situ, anda boleh lihat berapa banyak masa yang anda luangkan di Instagram pada setiap hari. Kemudian, melaluinya juga anda boleh padam secara pukal kandungan yang telah dikongsikan sama ada gambar atau pun video. Perkara yang sama juga boleh dilakukan pada likes dan komen yang pernah ditulis sebelum ini.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh semak perubahan yang telah dilakukan pada akaun sejak anda menciptanya. Anda turut diberikan kemampuan untuk melihat semula perkara yang pernah anda cari di instagram, serta kosongkan sejarah carian itu.

image is not available

Nampaknya Instagram sangat mengambil berat tentang keselamatan pengguna remaja. Dengannya, sudah tentu setiap pengguna akan rasa lebih selamat apabila berada di dalam talian.

[Sumber: TheVerge, Instagram]