5 info Ronapreve yang perlu anda tahu, ubat cegah dan rawat Covid-19, lulus pendaftaran bersyarat KKM

14 Dec 2021 • 2:22 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

UMUM mengetahui Covid-19 tiada penawar dan belum ada kaedah yang boleh merawat virus itu.

Nampaknya penantian yang sekian lama bakal berakhir apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi produk Ronapreve untuk kegunaan rawatan dan pencegahan wabak itu.

image is not available
Kredit foto: Japan Times

Ia diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya di Facebook rasmi KKM.

Apakah Ronapreve? Berikut lima info mengenai:

1.Ronapreve ialah ubat dalam bentuk cecair untuk suntikan atau infusi.

2.Ia mengandungi bahan aktif Casirivimab dan Imdevimab pada kekuatan 120mg/ml.

3.Pemegang pendaftarannya ialah Roche (Malaysia) Sdn Bhd dan dikilangkan oleh F. Hoffman-La Roche Ltd, Switzerland.

4.Ia ditegaskan tidak bertujuan menggantikan vaksinasi Covid-19 dan tindakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

5.Kelulusan pendaftaran bersyarat ke atas Ronapreve memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk itu dipantau dan dinilai berdasarkan data terkini dari masa ke semasa bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi kekal positif.

image is not available

UNTUK MERAWAT COVID-19

Bagaimana ia digunakan untuk merawat? Menurut Dr Noor Hisham, Ronapreve boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 dewasa dan remaja 12 tahun ke atas yang sekurang-kurangnya mempunyai berat badan 40 kilogram (kg), yang tidak memerlukan oksigen tambahan atau berisiko dijangkiti Covid-19 ke tahap lebih teruk.

UNTUK MENCEGAH COVID-19

Bagi pencegahan Covid-19, Ronapreve membantu individu yang terdedah atau berisiko tinggi terhadap SARS-CoV-2, sama ada dengan keadaan perubatan yang menyebabkan mereka tidak mungkin bertindak balas atau dilindungi melalui vaksinasi, atau tidak diberi vaksin terhadap Covid-19.

Tidak sekadar Ronapreve, KKM turut mengumumkan berita baik di mana pihaknya baru meluluskan satu lagi produk pencegahan Covid-19.

image is not available

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) meluluskan permohonan Lesen Import Percubaan Klinikal (CTIL) membabitkan satu protokol bagi produk pencegahan Covid-19 iaitu MK-4482 200mg ubat antiviral Molnupiravir daripada pemohon Merck Sharp & Dohme (M) Sdn Bhd dan pengilang Patheon Pharmaceuticals Inc di Amerika Syarikat.

Difahamkan Kajian Klinikal Fasa Tiga ini akan dijalankan di dua pusat penyelidikan di negara ini dengan sasaran bilangan subjek seramai 20 individu berusia 18 tahun ke atas.

Kajian itu dijangka mengambil tempoh selama sembilan bulan dan merupakan sebahagian daripada kajian yang dilakukan di peringkat global membabitkan pelbagai negara.

Terdahulu, Jepun menjadi negara pertama menggunakan Ronapreve sebagai ubatan untuk merawat Covid-19 bergejala ringan.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sumber: KKM