
SHAH ALAM, 3 DIS: Orang ramai yang tidak dapat berkunjung ke Pesta Buku Selangor 2021 diminta memanfaatkan peluang pembelian secara dalam talian sepanjang pesta berlangsung sehingga 12 Disember ini.
Pengarah Projek Mohamed Fadzli Mohd Fauzi berkata menerusi platform Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dan Shopee, pembeli bakal menerima diskaun tinggi sekali gus menjimatkan kos pembelian.
“Shopee memang sudah sediakan diskaun khas dan tambah lagi diskaun sempena pesta ini berlangsung. Pengurangan harga juga cecah 70 peratus.
“Bukan hanya jimat tetapi juga memudahkan mereka. Tempah, bayar dan terus dihantar. Pilihan buku juga banyak,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamed Fadzli berkata hampir separuh daripada 121 pempamer yang mengambil bahagian di pesta berkenaan mempunyai akaun Shopee sendiri.
Sementara itu, beliau berkata pasukan khas membawa sepanduk meminta penjarakan fizikal digerakkan esok bagi memastikan pengunjung sentiasa patuh tatacara operasi piawai (SOP).
“Ini sebagai peringatan psikologi. Bila pengunjung nampak secara automatik mereka peka keadaan diri dan terus menjaga jarak.
“Untuk mengawal kemasukan ke ruang pameran, kita sediakan 20 kakitangan termasuk Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) memantau aliran trafik. Kita jangka ramai pengunjung pada hari minggu,” katanya.
Pesta berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) bermula 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.
Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan selain menampilkan beberapa tokoh dan selebriti terkenal antaranya angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.
The post Pesta Buku Selangor: Manfaatkan pembelian dalam talian, diskaun tinggi ditawar appeared first on Selangorkini.
