Tular lelaki terjun, Tasik Cermin ditutup mulai hari ini

13 Dec 2021 • 10:20 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

IPOH, 13 DIS: Tasik Cermin di sini yang sering menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan alam semula jadinya, ditutup bermula hari ini gara-gara tular video menunjukkan seorang lelaki terjun ke dalam tasik berkenaan.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata kawasan tersebut ditutup sehingga siasatan kes itu selesai dijalankan dan pembukaan semula untuk kunjungan pelancong akan diumumkan kepada orang ramai.

“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu dan kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, identiti pelaku masih dalam siasatan dan tindakan akan dikenakan mengikut undang-undang pihak berkuasa tempatan yang bersesuaian.

Kawasan Tasik Cermin berada di bawah pengurusan Geopark Kinta dan orang ramai tidak dibenarkan mandi-manda di kawasan tasik berkenaan.

Baru-baru ini, video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang lelaki berpakaian serba hitam terjun ke dalam tasik berkenaan tular di aplikasi TikTok.

Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan lelaki itu kerana perbuatannya boleh menyebabkan kawasan rekreasi tersebut ditutup kepada pengunjung.

Sebelum ini, Tasik Cermin pernah ditutup kepada pengunjung pada Mac tahun lalu atas faktor keselamatan.

-BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved