Seperti yang sudah ramai jangkakan, penyanyi dan chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob ialah peserta kedua yang tersingkir daripada program realiti Gegar Vaganza 8 pada malam semalam.
Dalam minggu keempat yang bertemakan Berdiri Bulu Romaku, Fazley telah membawa lagu nyanyian Datuk Hattan, Mahligai Syahdu dan mendapat markah terendah dari juri iaitu 50%.
“Saya lega sangat apabila tersingkir!”
Menerusi perkongsian di Instagram, Fazley berkata dia sangat lega dengan penyingkiran semalam dan akui GV8 bukanlah pentas yang sesuai dengannya yang dianggap hanya sekadar penyanyi rakaman.
Saya lega sangat apabila tersingkir! Bukan menidakkan peluang, tetapi akur dengan rezeki setakat ini.
“Saya hanya usahakan agar ada peningkatan di dalam persembahan saya setiap minggu, bukan bertanding untuk lebih baik dari peserta2 lain.
“gegarvaganzaofficial bukan pentas saya, ianya terlalu besar untuk saya yang sememangnya bukan penyanyi pertandingan,” katanya.
“Ada perbezaan besar antara penyanyi pertandingan dengan penyanyi rakaman”
Tambahnya lagi, dia mengakui diri hanyalah penyanyi rakaman kerana jika di studio dia boleh memperbaiki nyanyiannya berkali-kali manakala jika seorang itu penyanyi pertandingan, mereka boleh menyanyi live tanpa kesalahan besar.
“Ada perbezaan besar di antara penyanyi pertandingan dengan penyanyi rakaman. Saya hanya penyanyi rakaman yang boleh perbaiki nyanyian di dalam studio berkali-kali tanpa penjurian sehingga nyayian saya sempurna sebelum di jadikan lagu di radio.
“Penyanyi pertandingan pula adalah mereka yang ternyata begitu hebat dan menjadi kebiasaan menyanyi live tanpa kesilapan besar di hadapan para juri dan ribuan penonton,” katanya lagi.

Fazley juga pada masa yang sama berterima kasih kepada mereka yang memberi sokongan kepadanya dan seronok kerana dapat puaskan hati anak-anak yang ingin melihat dia kembali bernyanyi selepas 10 tahun.
Apa-apapun selamat maju buat Abang Asmara dalam apa jua bidang yang diceburinya, tak kiralah dalam dunia masakan ataupun nyanyian.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


